Seorang Penyunting



TUGAS sebagai seorang penyunting sebuah penerbitan bukanlah semudah yang disangkakan. Setiap hari terpaksa bergelumang dengan bahan-bahan yang perlu disunting secepat mungkin sebelum diterbitkan dalam majalah.

Bagaimanapun, Ernita cukup komited dengan tugas yang disandang sejak lima tahun yang lalu. Walaupun telah berusia lewat 30-an, namun dia masih bersendirian. Dalam usia begitu, dia masih belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga. Setiap malam, Ernita pulang sekitar jam 12.00 malam dan jikalau kerja terlalu banyak dia akan pulang ke rumah sehingga dinihari. Walaupun ada juga rakan-rakannya menceritakan kisah-kisah seram di pejabatnya pada waktu malam, namun Ernita langsung tidak mempercayai dan menganggapnya sebagai tahyul dan khayalan semata-mata.

"Ernita, kau tak takut ke pulang lewat malam seorang diri. Aku bukan apa, dah banyak cerita yang aku dengar daripada rakan sepejabat kita yang lain tentang kejadian ganjil yang mereka alami. Naik seram bulu roma aku dibuatnya," kata Jasmin, rakan sepejabat Ernita.

"Alah, kau tu percaya sangat dengan cerita-cerita seram dia orang tu. Tak ada apa-apalah. Itu mungkin cuma perasaan mereka sahaja. Kau tu, jangan cepat melatah. Tak ada yang perlu ditakutkan. Setakat ini aku tak ada pula menghadapi kejadian-kejadian ganjil seperti yang kau ceritakan pada aku," kata Ernita.

"Kau jangan cakap besar Ernita. Mungkin masa kau belum tiba. Nanti esok lusa, kau pula yang dikacaunya. Masa tu baru kau tahu langit tu tinggi, rendah. Aku cuma menasihatkan je. Baru-baru ini si Arman tu kena kacau dengan hantu kat pokok ara berhampiran dengan tempat letak kereta kat belakang pejabat kita. Sampai pengsan-pengsan. Nasib baik ada pengawal keselamatan yang menemui Arman yang terbaring di tepi pintu keretanya. Kalau tak, tak tahulah aku apa nasib dia. Kau tu, aku nak nasihatkan jangan selalu sangat balik lewat malam. Bahaya tau. Kau tu perempuan. Kerja-kerja juga. Tapi janganlah sampai tak berdunia dengan orang lain," Jasmin meleteri Ernita.

Tapi Ernita menganggap Jasmin terlalu percaya dengan cerita-cerita orang. Baginya dalam zaman moden ini ,cerita-cerita seram seperti itu tidak boleh dipercayai. "Dalam zaman moden macam ni, mana ada hantu. Hantu pun memang tak boleh hidup dengan suasana dunia yang semakin hingar-bingar ini. Lainlah masa dulu-dulu, banyak pokok-pokok besar yang dikatakan menjadi 'rumah' makhluk-makhluk halus itu," bisik hati kecil Ernita.

Namun di sebalik keegoannya itu, sebenarnya Ernita seram juga. Dia paling seram ketika terpaksa melalui sebatang pokok Ara yang terletak di tempat letak kereta, di belakang pejabat mereka. Satu malam, Ernita meninggalkan pejabat tepat jam 2.00 pagi. Dia sebenarnya terlalu letih hingga tertidur. Setelah mengemaskan barang-barangnya, Ernita melangkah ke tempat letak kereta. Tetapi berlaku sesuatu kejadian yang aneh.

Ernita telah tersesat jalan. Dia tidak berjaya mencari jalan menuju ke tempat letak kereta. Padahal tempat letak kereta itu terletak tidak jauh dari pejabat Ernita. Kalau berjalan kaki pun, tidak sampai 5 minit. Tapi entah bagaimana, pada malam itu, Ernita telah berpusing-pusing di tempat yang sama selama 15 minit. Setelah puas melilau di situ baru dia berjumpa tempat tersebut.

Sangkaan Ernita tidak akan ada masalah lagi selepas itu, rupa-rupanya timbul lagi masalah lain. Malam itu dilihatnya terlalu banyak kereta di kawasan tempat letak kereta. Setelah berlegar-legar selama lebih kurang 20 minit, barulah dia berjumpa dengan keretanya. Namun apa yang mengejutkan ada seorang wanita cantik di dalam keretanya. Tanpa berlengah, Ernita terus membuka pintu keretanya. Alangkah terkejutnya Ernita apabila wajah wanita muda yang jelita itu bertukar hodoh. Dia menjerit sekuat-kuat hati sambil meminta tolong dan cuba melarikan diri tetapi kakinya seolah-olah dirantai. Bau hanyir darah mula menguasai ruang dalam kereta. Semakin lama, semakin busuk. Wajah hodoh itu mengilai-ngilai memandang Ernita yang sedang ketakutan.

Semakin kuat Ernita menjerit, semakin kuat wanita itu menggilai. Wajah hodoh itu cuba mencekik leher Ernita. Ernita meronta-ronta cuba untuk melepaskan diri. Ernita semakin kehabisan tenaga. Ernita hilang pertimbangan. Dia hanya mampu berserah kepada Allah tentang nasib dirinya. Tiba-tiba, Ernita teringat bahawa dia ada menyimpan terjemahan ayat suci al-Quran di dalam beg tangannya. Kebetulan petang itu, dia mengikuti majlis tahlil kenduri arwah sahabatnya yang meninggal dunia ketika bersalin. Jadi terjemahan ayat suci al-Quran masih ada di tempat duduk penumpang di dalam keretanya.

Tanpa membuang masa, Ernita cuba meraba terjemahan ayat suci al-Quran itu dan terus memegang erat. Tiba-tiba tangan makhluk yang mencekik leher Ernita terlerai dari leher Ernita. Dengan tenaga yang berbaki, Ernita menguatkan semangat untuk membaca ayat Kursi. Lama-kelamaan wajah wanita hodoh itu hilang dari pandangan begitu juga dengan bau busuk yang menguasai ruang dalam kereta Ernita. Ernita hanya mampu mengucap dan bersyukur kepada Allah kerana terlepas dari 'bala ' itu. Selepas kejadian ngeri itu, Ernita tidak berani lagi pulang lewat malam seorang diri. Dia lebih rela membawa kerja-kerja yang belum disiapkan balik ke rumah. Sejak kejadian itu juga Ernita lebih banyak mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti agama.



Sumber
LihatTutupKomentar